OLEH : SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan tegasnya dan tanpa berkompromi mahukan kerajaan terus mempertahankan status Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) milik penuh bumiputera di negara ini.

MPM menolak sekerasnya tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) untuk membuka UiTM kepada tiap warga di Malaysia
Hindraf telah menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

 

MPM menyifatkan cadangan supaya UiTM dibuka kepada bukan bumiputera sebagai tidak wajar dan tuntutan seperti ini tidak perlu dipertimbangkan langsung. Cadangan seperti ini bukan sahaja merupakan satu provokasi, tetapi amat bertentangan dengan aspirasi UiTM yang mahu mewujudkan bangsa pribumi yang mempunyai pendidikan tinggi yang berkualiti dan bermaruah.

 

Ini bukanlah satu isu yang baru kerana sejak dari dahulu pun kita ada terdengar suara suara sumbang yang mahukan UiTM dibuka kepada tiap warga di Malaysia. Itu sebabnya isu seperti ini tidak boleh dipolemikkan kerana akan menggugat perpaduan dan keharmonian yang sudah terjalin di negara kita.

 

Jika diimbas kembali, Tun Mahathir yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Pelajaran telah membentangkan Rang Undang-Undang Institut Teknologi MARA (ITM) pada 13 April 1976, semasa menggulung perbahasan , Mahathir telah menolak cadangan untuk membuka pintu ITM kepada semua warganegara dengan memberikan hujah bahawa perpaduan tidak wajar hanya didesak untuk dilaksanakan di ITM.Dan tahap UiTM terus diperkasakan apabila Tun Mahathir mengisytiharkan ITM bertaraf universiti, pada 26 Ogos 1999.

 

Berikutan itu, Aspirasi UiTM adalah untuk menjadi sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf dunia serta menjadi universiti terbaik di negara kita .

 

Untuk membuktikan kredibilitinya, UiTM telah mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 pada 5 Ogos 2004 dan menjadi universiti pertama di dunia yang mendapat pensijilan keseluruhan yang meliputi pengurusan korporat, perkhidmatan sokongan, pengajaran dan pembelajaran.

 

Mungkin ada pihak yang lupa bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk Bumiputera merupakan sebahagian daripada hak dan keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

 

Perkara 153; (8A) “Walau apa pun apa-apa jua dalam perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

 

Jasa institusi keramat ini tidak boleh dipertikaikan lagi. UiTM telah berjasa sejak sekian lama dan telah berjaya melahirkan golongan profesional bumiputera dalam pelbagai bidang. Secara tidak langsung UiTM memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf sosial kaum bumiputera.

 

Pastinya ratusan ribu graduan yang dihasilkan oleh UiTM telah dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kesusahan dan kemiskinan.
Selain itu UiTM juga boleh dianggap sebagai satu `breeding ground’ yang mana Alumninya yang melebihi 700 ribu orang di seluruh Malaysia ,terus memberikan sumbangan dan kepakaran kepada pembangunan negara kita.

 

Dalam hal ini juga, MPM ingin menyeru agar lebih ramai pemimpin Melayu serta para cendiakawan berani bersuara dan mempertahankan status UiTM supaya terus kekal sebagai hak bumiputera.

 

Sejak penubuhannya, UiTM telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam melahirkan para graduan yang terus berjasa kepada pembangunan negara kita. Apa yang pasti UiTM akan terus mengejar aspirasi dan matlamat , untuk muncul sebagai entiti pendidikan tinggi yang terulung di Malaysia.

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *