MH Online

Laman Suara Rakyat

Persoalan Akta MKN Dirujuk Ke Mahkamah Persekutuan

Persoalan Akta MKN Dirujuk Ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR, Permohonan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk merujuk persoalan perlembagaan berhubung Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 ke Mahkamah Persekutuan, dibenarkan Mahkamah Tinggi, hari ini.

Persoalan perlembagaan itu adalah berhubung saman pemula dikemukakannya bagi memohon perisytiharan Akta MKN tidak berperlembagaan.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu di kamar beliau, yang turut dihadiri peguam J Leela yang mewakili Anwar.

Leela berkata, Nordin turut membuat pindaan kepada persoalan perlembagaan diajukan Anwar kepada Mahkamah Persekutuan.

Katanya, persoalan dipinda itu adalah sama ada Akta MKN tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah serta tidak memberikan kesan disebabkan tiga alasan.

“Tiga alasan itu ialah akta itu menjadi undang-undang disebabkan pindaan tidak berperlembagaan; ia tidak diwartakan mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ia melanggar kebebasan bergerak seperti dijamin Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada media selepas prosiding kes itu, hari ini.

Leela berkata, pihaknya kini menunggu Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh pendengaran.

Pada 2 Ogos 2016, Anwar memfailkan saman terhadap kerajaan dan MKN bagi memohon perisytiharan Akta MKN tidak mengikut perlembagaan.

Dalam saman pemula itu, Anwar turut memohon perisytiharan, Seksyen 12 Akta Perlembagaan, Perkara 66(4) dan Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.

Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang responden daripada mengambil sebarang tindakan mengikut akta berkenaan.

Anwar mendakwa, Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 dan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 serta melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994.

Melalui pindaan itu, Anwar mendakwa Perkara 66 sudah diubah daripada asasnya sedangkan Parlimen tidak mempunyai kuasa meminda Perlembagaan Persekutuan termasuk perkara itu.

Beliau berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan.