Oleh : Hidayat Fansyuri

Ahad lalu, suasana di studio Sri Pentas 2 dimeriahkan oleh kesemua protégé yang telah membawakan lagu-lagu popular juri tetap Mentor Milenia 2017 iaitu Datuk Hattan. Sungguhpun setiap protégé mendapat pujian daripada panel juri, hanya protégé Black (Syeera) sahaja yang berjaya membuat Datuk Hattan betul-betul kagum dan bangga dengan persembahannya, sehingga beliau memberi cadangan kepada Syeera untuk merakamkan lagu tersebut dengan rendisi itu.

“Saya masih belum pernah melihat persembahan yang menggabungkan melodi muzik Melayu dan Kawali. Oleh itu, persembahan kamu ini sangat membanggakan. Tahniah!” komen Aizat Amdan selaku juri jemputan di konsert minggu lalu mengenai persembahan Syeera yang menyanyikan lagu berjudul “Mahligai Syahdu”.

Datuk Hattan juga menyatakan persembahan Syeera yang mempunyai sentuhan muzik klasikal dari India ini merupakan sesuatu yang lama dinanti-nantikan oleh beliau.

Ekoran daripada persembahan mantap daripada setiap protégé, Datuk Hattan telah membuat keputusan untuk tidak menyingkirkan sesiapa pada malam tersebut. Keputusan muktamad juri tetap Mentor Milenia 2017 itu telah menyelamatkan dua protégé paling corot, Along (Tomok) dan Balqis (Hazama) dan diberikan peluang untuk meneruskan perjuangan mereka di pentas Mentor Milenia 2017 bersama-sama Usop (Hazama), Syeera (Black) dan Elica (Akim).

Datuk Hattan berkata, “Bagi saya, Along dan Balqis tidak layak untuk berada di tangga tercorot dan sepatutnya berdiri setaraf dengan Syeera, Usop dan Elica. Namun, inilah adat pertandingan. Kelima-lima protégé ini sebenarnya sudah layak untuk terus bersaing di konsert akhir. Sebagai juri tetap, saya ingin memberi peluang sekali lagi kepada mereka berdua untuk terus bersaing di pentas Mentor Milenia 2017.”

 Along, protégé Tomok dari Kedah, dipuji kerana mampu menyanyikan lagu Negeri Sembilan yang berjudul “Biso Bonar” dengan baik sekali. Walaupun Along berjaya mendapat markah penuh, persembahannya malam itu masih lagi kelihatan agak keras dan dia dinasihati untuk menyanyi dengan lebih bersahaja.

Balqis yang mewakili kumpulan Hazama pula telah mendapat 18 markah daripada juri awam dengan persembahan lagu berjudul “Sambar Apa Saja” yang diiringi tarian samba. Selain dipuji kerana berkeyakinan dengan diri sendiri oleh Aizat, Balqis juga diingatkan agar berjaga-jaga dengan teknik pernafasan dan pergerakan ketika membuat persembahan.

Terdahulu, pertarungan konsert battle ketujuh ini telah dimulakan dengan persembahan daripada protégé Akim, Elica yang menyampaikan lagu “Rindu Bertandang Lagi” dan mendapat 18 markah oleh juri awam. Elica dikatakan berjaya menyanyikan lagu tersebut dengan baik namun Datuk Hattan percaya bahawa Elica mampu menyanyikan lagu tersebut dengan lebih baik lagi.

Seorang lagi protégé yang mewakili kumpulan Hazama iaitu Usop, juga tampil dengan persembahan penuh tenaga dan menerima 20 markah daripada juri awam. Keikhlasan Usop ketika menyanyikan lagu berjudul “Hani” telah dipuji oleh panel juri. Bagaimanapun, Datuk Hattan menyatakan genre lagu tersebut tidak sesuai dengan Usop, dan dia dinasihati agar menghafal lirik lagu dengan betul untuk persembahan akan datang.

(Syeera Protege Kepada Black)

Selain dihiburkan oleh persembahan hebat setiap protégé, para penonton di studio Sri Pentas 2 juga telah dihiburkan dengan persembahan khas daripada juri jemputan, Aizat Amdan dengan lagu barunya yang berjudul Jangan Menangis. Penutup persembahan pula dilengkapkan dengan rangkaian lagu “Gadis Jolobu dan Duit Duit” oleh kesemua protégé.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% daripada juri awam di studio.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *