MH Online

Laman Suara Rakyat

Perodua Pertingkat Kemahiran Kakitangan

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan untuk mempertingkat aspek standard, kemahiran serta pengetahuan kakitangan pasca jualannya menerusi Pertandingan Kemahiran Teknikal Kebangsaan syarikat itu.

Ia juga sejajar dengan persiapan untuk mencatatkan jumlah perkhidmatan yang mencecah 2.14 juta pada 2018, kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pertandingan yang dianjurkan julung kali pada 1987, membabitkan kumpulan pekerja merangkumi penasihat servis, fomen, mekanik dan untuk pertama kalinya tahun ini melibatkan penasihat servis badan dan cat kereta, menerusi beberapa siri senario berkaitan pelanggan yang mencabar.

Peserta terbabit akan diadili berdasarkan kemampuan dan kecekapan mereka menyelesaikan isu itu dengan tepat serta pantas.

Katanya, mereka juga dinilai tidak hanya daripada sudut teknikal tetapi mampu memaparkan tumpuan terhadap kepuasan pelanggan yang sememangnya diutamakan.