Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Perodua Lantik CEO Baru

Perodua Lantik CEO Baru

KUALA LUMPUR, Syarikat Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah melantik Datuk Zainal Abidin Ahmad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Aminar Rashid Salleh yang akan bersara selepas berkhidmat selama sembilan tahun.

Dalam satu kenyataan, Perodua berkata, tempoh perkhidmatan Aminar sebagai Presiden dan CEO Perodua akan berakhir pada 31 Disember.

Zainal akan mengambil alih tugas itu mulai 1 Januari 2019. Beliau pernah menjadi Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd dan memegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat dan Perakaunan dari Universiti Pacific Lutheran, Washington.

Beliau memulakan kerjayanya di Perodua pada 1995 di jabatan kawalan kos dan terlibat secara langsung dalam mewujudkan struktur kos pembuatan Perodua.

“Zainal akan menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pertama yang dipilih dari dalam Perodua. Beliau terbabit dalam perumusan Dasar Automotif Negara (NAP) dan bekerjasama rapat dengan kerajaan melalui pelbagai badan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menambah baik dasar,” katanya.

Sementara itu, Perodua berkata, Aminar adalah Presiden dan CEO yang paling lama berkhidmat dan di bawah kepemimpinannya, syarikat itu mengembangkan penguasaan pasarannya kepada lebih 37 peratus setakat 2018 daripada 31.2 peratus pada 2010.

Yang paling penting, di bawah kepemimpinannya, Perodua memulakan pelaburan RM1.3 bilion untuk membina Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, kilang pengeluaran kenderaan cekap tenaga  (EEV) pertama di Malaysia yang disahkan MITI.

“Lembaga Pengarah mengucapkan terima kasih kepada Aminar atas sumbangannya kepada Perodua serta industri automotif Malaysia secara keseluruhannya,” kata Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Leave a Reply

Top