MH Online

Laman Suara Rakyat

Permohonan Sijil Halal Akan Dipermudahkan

Permohonan Sijil Halal Akan Dipermudahkan

KUALA LUMPUR, Kerajaan bercadang mempermudahkan lagi proses permohonan sijil halal bagi industri makanan dengan mengambil kira krisis koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri bagaimanapun berkata, proses itu tetap perlu memenuhi syarat dan piawaian.

“Saya bercadang, pemprosesan masalah sijil halal ini dipermudahkan bukan kita menyukarkan.

“Cuma kena menyempurnakan atau melengkapkan syarat-syaratnya, sebab kita faham dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, sudah tentu akan menyukarkan (pemohon),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Virtual Halal School di Menara Arina-UNITI di sini hari ini.

Menurutnya, semua aspek akan diteliti dalam usaha menambahbaik proses permohonan tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zulkifli memaklumkan, cadangan memindahkan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diuruskan Halal Industry Development Corporation (HDC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini akan diketahui pada Sidang Dewan Rakyat nanti.

Menurut beliau, ini kerana keputusan tersebut perlu melibatkan pandangan semua pihak sebelum ia diputuskan.

“Kenyataan bersama akan diumumkan ketika Sidang Parlimen nanti,” tambah beliau lagi.

Tahun lalu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, menafikan dakwaan ada cadangan memindahkan Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM diuruskan HDC di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, hanya membuat keputusan untuk mewujudkan sekretariat bersama antara HDC dan JAKIM bagi pembangunan industri halal negara.