MH Online

Laman Suara Rakyat

Perluaskan Bantuan Beras Ke Seluruh Negara

Perluaskan Bantuan Beras Ke Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Program MyBeras@Wilayah bersifat menyeluruh dan diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Beliau berkata, penduduk di kawasan lain selain Kuala Lumpur (KL), Putrajaya dan Labuan juga perlu menerima bantuan inisiatif berkenaan kerana mereka juga rakyat Malaysia.

“Benar Program MyBeras@Wilayah dikendalikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

“Tetapi sampaikah hati kita melihat mereka di tempat lain yang mungkin juga memerlukan bantuan beras berputih mata mendengar pengumuman program itu?

“Nasi adalah makanan rutin rakyat Malaysia. Mujur makanan rutin rakyat Malaysia bukan ‘chicken chop’ atau ‘Harimau Menangis’, maka tidaklah setinggi itu kos diperlukan kerajaan untuk membantu rakyat menggalas perut pada waktu-waktu sukar begini,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada penduduk Wilayah Persekutuan yang bakal menerima sekampit beras secara percuma setiap minggu di bawah program berkenaan.

“Walau apa pun saya berharap lebih banyak kampit beras disediakan di bawah program ini. Kita diberitahu keluarga yang berada di bawah garis kemiskinan di KL dianggarkan lebih 30,000,” katanya.

Terdahulu, kerajaan akan menyumbangkan sebanyak 5,750 kampit beras percuma setiap minggu kepada keluarga golongan B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 31 Januari.