Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perlu Segera Bincang Peralihan Kuasa

Perlu Segera Bincang Peralihan Kuasa

PUTRAJAYA, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) supaya segera berbincang dan memuktamadkan peralihan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu perlu bagi menghentikan lebih banyak spekulasi di-buat pihak tertentu dan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Paling penting sekarang, Majlis Presiden PH harus duduk berbincang dan memuktamadkan perkara ini. Itu yang kita hendak,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, Dr Mahathir secara jelas juga sedar bahawa jawatan yang disandang beliau ketika ini adalah hasil konsensus yang dilakukan Majlis Presiden PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Dalam mesyuarat PH semasa kita buat post mortem Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor tahun lalu, Dr Mahathir ada menyebut dengan terang bahawa kedudukan beliau (sebagai Perdana Menteri) adalah hasil konsensus PH.

“Beliau menerima hakikat bahawa PH akan bincang tentang formula peralihan. Itu sangat jelas,” katanya.

Difahamkan, kali terakhir mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan adalah pada 6 Disember lalu, namun tiada sebarang perbincangan dibuat berhubung peralihan kuasa. Mesyuarat seterusnya dijangka diadakan pada 7 Februari depan.

Baru-baru ini, media melaporkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mendesak Sekretariat PH menetapkan tarikh khusus mengenai proses peralihan kuasa.

Bagaimanapun, Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan bahawa peralihan kuasa kepada penggantinya akan dilaksanakan selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik 2020 pada akhir tahun ini.

Leave a Reply

Top