Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PERKIM Perlu Pantau Kebajikan Saudara Baru

PERKIM Perlu Pantau Kebajikan Saudara Baru

KANGAR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mahu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) memperkasakan pengurusan saudara baharu dengan memantau dan memberi bantuan sewajarnya agar mereka kekal sebagai penganut Islam.

Beliau berkata isu sebilangan golongan mualaf keluar daripada agama Islam dan kembali semula kepada agama asal kerana mereka ini diabaikan oleh umat Islam sendiri.

“Justeru, saya harap PERKIM di seluruh negara membuat pemantauan serta menjaga kebajikan saudara-saudara baharu supaya mereka tidak berubah hati,” katanya.

Shahidan, yang juga Naib Yang Dipertua PERKIM, berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-47 PERKIM cawangan Perlis, di sini, hari ini.

Beliau menyarankan supaya PERKIM di setiap negeri menyimpan rekod jumlah saudara baharu dan cawangan yang berjaya menambah bilangan saudara baharu seharusnya diberi bantuan kewangan bagi melaksanakan lebih banyak program untuk golongan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi PERKIM Perlis, Datuk Ahmad Jusoh berkata pihaknya memperuntukkan lebih RM400,000 bagi melaksanakan kelas bimbingan agama kepada golongan saudara baharu untuk tahun ini.

Leave a Reply

Top