Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perkasakan Mahkamah Syariah

Perkasakan Mahkamah Syariah

MARAN, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menyarankan supaya mahkamah syariah di negeri ini diperkasakan setaraf dengan mahkamah sivil.

Sehubungan itu, baginda bertitah meminta pihak berkenaan mengkaji perkara itu dengan menyeluruh.

“Kalau kita tidak melaksanakannya sekarang, mungkin kita tidak akan buat lagi selepas ini…kita buat dahulu sebelum perinciannya diperhalusi pihak pentadbiran dan perundangan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas merasmikan Masjid Jamek As-Sobirin Felda Kampung New Zealand di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Tengku Abdullah bertitah baginda sedar bahawa perkara itu mungkin mendatangkan kebimbangan sesetengah pihak dan meminta ia dilakukan secara teratur.

“Kita tidak boleh menafikan ada pihak tertentu cuba memutar belit fakta dan mengambil kesempatan atas usaha kita ini.

“Oleh itu, sebelum melangkah ke satu lagi tahap, segala persiapan informasi berkaitan usaha ini perlu diuar-uarkan supaya semua pihak dapat memahami tujuan pelaksanaannya,” titah baginda.

Leave a Reply

Top