MH Online

Laman Suara Rakyat

Perkasa Institusi Keluarga Elak Masalah Sosial

BAGAN DATUK, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu institusi keluarga diperkasakan sebagai sebahagian tindakan utama mengekang kebejatan sosial di kalangan remaja dan kanak-kanak yang semakin meningkat sekarang.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan sejak akhir-akhir ini didapati golongan remaja dan kanak-kanak sudah ada melakukan jenayah yang lazim dilakukan golongan lebih dewasa.

Katanya, perkembangan itu amat membimbangkan kerana pembentukan sesuatu generasi akan datang terserlah melalui sahsiah atau peribadi kanak-kanak dan remaja pada masa sekarang.

“Institusi keluarga harus diperkukuh, diperkasa dan dibenteng dengan kekuatan sahsiah agar anak tidak liar di luar rumah.

“Kita tidak mahu ibu bapa terlalu sibuk mencari rezeki sehingga lupa (pembentukan) sahsiah keluarga,” katanya ketika merasmikan penutupan Seminar Keselamatan Kanak-kanak sempena program #NEGARAKU KeluargaBahagia KPWKM di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, masalah buang bayi yang kerap berlaku seolah-olah kehamilan luar nikah sudah menjadi normal dalam masyarakat manakala umur pengguna dadah semakin rendah iaitu seawal tujuh tahun apabila diberi dadah berupa gula-gula secara percuma sehingga mereka jadi ketagih.

Beliau berkata, sebanyak 2,322 kes buli dilaporkan kepada polis sejak tahun 2012 hingga Jun tahun ini dan tidak menolak kemungkinan ada kes yang tidak dilaporkan.

Oleh itu, katanya, masyarakat perlu mengambil tindakan proaktif dan mengambil sikap kepedulian terhadap sebarang kes membabitkan kanak-kanak manakala pihak sekolah jangan menyembunyikan sebarang kes berlaku semata-mata mahu menjaga imej sekolah.

Terdahulu, ketika merasmikan Pusat Pembiayaan Komersial Agrobank Hutan Melintang, Ahmad Zahid meminta Agrobank bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan SME Corp untuk menggalakkan petani menghasilkan produk berasaskan hiliran khususnya kelapa di Bagan Datuk.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, langkah itu bukan sahaja akan membantu membangunkan industri hiliran di daerah itu tetapi juga meningkatkan potensi perniagaan Agrobank di Bagan Datuk.

“Pembukaan Pusat Pembiayaan Komersial ini menunjukkan Agrobank sudah melihat potensi yang terdapat di daerah ini terutama peningkatan pembangunan infrastruktur serta peluang perniagaan dalam pertanian,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Shahrul Zaman serta Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Terdahulu, Mohamad Zabidi berkata Pusat Pembiayaan Komersial Hutan Melintang adalah pusat komersial kedua dibuka bank berkenaan selepas Cameron Highlands yang dirasmikan pada Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, fokus utama pusat komersial berkenaan ialah memberi khidmat nasihat dan pemprosesan pembiayaan komersial di bawah RM10 juta.