MH Online

Laman Suara Rakyat

Perjuangan UMNO Wajib Diteruskan

Perjuangan UMNO Wajib Diteruskan

KOTA BHARU, UMNO Kelantan mengakui keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengisytiharkan keluar daripada UMNO semalam, memberi cabaran besar kepada perancangan parti itu bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, berkata Mustapa yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa mempunyai banyak pengalaman untuk membantu perjuangan UMNO selepas 40 tahun berkhidmat sebagai ahli parti.

Justeru, katanya, keputusan Tok Pa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu disifatkan sebagai ujian Allah kepada pendokong serta pejuang UMNO di seluruh negara.

“Bagi pandangan saya, Tok Pa membuat keputusan keluar parti bukannya kecewa dengan apa-apa isu atau matlamat lain, sebaliknya beliau tidak setuju dengan hala tuju parti kerana ia bertentangan dengan prinsip politik peribadinya.

“Hala tuju UMNO bila-bila masa boleh berubah, tapi UMNO jangan kita ubah. Walaupun kita kecewa dan sedih, kita terpaksa terima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Sebelum ini, Tok Pa tidak menunjukkan tanda-tanda untuk keluar parti, malah perbincangan untuk tujuan itu juga tidak pernah dilakukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mustapa dalam satu kenyataan semalam mengumumkan keluar UMNO susulan hala tuju parti itu pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat pemimpin lain akan mengikut jejak langkah itu, Mohamad Fatmi berkata, beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku lagi.

“Tidak kira apa alasan (Tok Pa) sekalipun, kita seharusnya istiqomah dengan UMNO kerana bagi kita perjuangan melalui UMNO adalah wadah yang terbaik dan wajib kita teruskan,” katanya.