Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perjawatan Guru KAFA Dan Elaun Nelayan Fokus Bajet 2019

Perjawatan Guru KAFA Dan Elaun Nelayan Fokus Bajet 2019

KUANTAN, Isu perjawatan membabitkan 32,624 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta elaun sara hidup nelayan perlu diberikan keutamaan dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan Jumaat depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata walaupun dalam keadaan kewangan kerajaan ketika ini agak terhad, namun isu yang sudah lama membelenggu guru KAFA seharusnya diselesaikan segera dengan menawarkan skim perjawatan yang lebih baik kepada mereka.

Selain itu, beliau berkata status elaun sara hidup nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 juga wajar diteruskan atau ditambah baik bagi memastikan nasib golongan itu terus terbela.

“Saya lihat isu perjawatan guru KAFA ini sudah terlalu lama dibiarkan dan kita di Jabatan Perdana Menteri berharap akan ada pengumuman berkaitan masalah ini pada pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu depan.

“Sebelum ini mereka (guru KAFA) tidak ada sebarang skim lantikan dan hanya menerima elaun sekitar RM900 sebulan… jumlah ini adalah sangat tidak rasional dan ada antaranya terpaksa membuat kerja sampingan seperti membawa GRAB untuk menambahkan pendapatan.

“Saya percaya, jika nasib mereka dapat pembelaan atau ditawarkan skim sebagai contoh S29, mereka akan memperoleh gaji kira-kira RM2,000 sebulan dan ini sudah pasti dapat melegakan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Bayaran Elaun Sara Hidup Secara Tunai Kepada Nelayan Kawasan Kuantan di Dewan Wawasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini, hari ini.

Seramai 699 nelayan menerima elaun masing-masing pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Rashima Baharuddin dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang, Zulkifli Jusoh.

Sementara itu, mengulas mengenai elaun sara hidup nelayan pula, Fuziah berkata, kajian sudah dilakukan pihak LKIM dengan kerjasama persatuan nelayan negeri dan kebanyakan nelayan juga berharap ia dapat diteruskan.

“Saya sudah lama bersama mereka (komuniti nelayan) dan kalau boleh, ia (elaun sara hidup nelayan) diteruskan… mungkin (kerajaan) boleh tambah baik kaedah pengagihan bantuan kepada nelayan dan tidak hanya melalui pemberian wang tunai sahaja.

“Sudah pasti usaha LKIM serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini adalah sangat baik dalam membantu meringankan bebanan nelayan, terutamanya ketika musim tengkujuh… saya percaya, kerajaan akan fikirkan juga insentif lain lebih praktikal yang boleh diberikan kepada nelayan untuk membantu mereka kelak… kita tengoklah nanti (pembentangan bajet) dan saya harap ia (elaun sara hidup nelayan) diteruskan,” katanya.

Leave a Reply

Top