MH Online

Laman Suara Rakyat

Perincian Bantuan Prihatin Elektrik Dalam Bil Julai

Perincian Bantuan Prihatin Elektrik Dalam Bil Julai

KUALA LUMPUR, Pelanggan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan dapat melihat perincian manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diterima bagi April, Mei dan Jun, dalam Penyata Terperinci yang akan dikeluarkan bulan ini.

Syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Penyata Terperinci itu akan diterima pelanggan bersama bil Julai dalam tempoh tujuh hari melalui pos selepas pembacaan meter dibuat.

Kenyataan itu menyebut, pelanggan domestik juga boleh melihat Penyata Terperinci dan bil itu melalui laman web dan aplikasi myTNB selepas 48 jam menerima Notis Makluman.

“Pembaca meter TNB akan melakukan bacaan bulan Julai di premis pelanggan mulai 3 Julai ini dan pelanggan akan diberi Notis Makluman bahawa pembacaan telah dilakukan.

“Pada 20 Jun 2020, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada semua 7.66 juta pelanggan domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma hingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu April, Mei dan Jun 2020.

“Bantuan ini akan dinyatakan dalam bil bacaan sebenar,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu menyebut, pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 601 hingga 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun 10 peratus iaitu tambahan 8 peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2 peratus bermula April 2020 hingga September 2020.

Ia juga menyatakan sebarang pertanyaan lanjut mengenai bil, boleh diajukan pada talian TNB CareLine 1-300-88-5454 atau e-mel tnbcareline@tnb.com.my atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga berhampiran.