KUALA LUMPUR, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan perhimpunan di antara kepemimpinan serta ahli MCA dan Gerakan pada Sabtu ini menggambarkan iltizam Barisan Nasional (BN) untuk memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, pertemuan kali pertama dalam sejarah Barisan Nasional (BN) itu, bakal berlangsung dalam satu ikatan yang padu dan kukuh.

“Berlaku beberapa perkembangan menarik dalam ‘unity’ (perpaduan) BN hari ini. Alhamdulillah lebih baik, lebih kukuh, padu. Sebab itu malam ini kita pakai satu baju saja, baju BN.

“Saya nak tekankan, dalam parti kita, kita telah sematkan semangat BN. Saya nak maklumkan beberapa perkembangan, Sabtu ini, MCA dan Gerakan akan mengadakan satu pertemuan buat kali pertama dalam sejarah BN, akan bersama-sama dalam satu ikatan yang padu dan kukuh.

“Percayalah, inilah komitmen kita. Insya-Allah, saya dan (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) sebagai Timbalan Pengerusi BN dengan rakan kita (parti komponen BN) berazam melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran portal theRakyat.com di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Najib yakin parti komponen BN mempunyai persefahaman lebih jitu berbanding pakatan pembangkang.

Pada sidang media bersama semalam, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan rakan sejawatannya dari Gerakan, Datuk Liang Teck Meng dilaporkan berkata, ribuan ahli dan pemimpin pelbagai peringkat kedua-dua parti akan berhimpun di Dewan San Choon, Wisma MCA, Sabtu ini.

Perhimpunan itu bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama di antara kedua-dua parti menjelang PRU akan datang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *