MH Online

Laman Suara Rakyat

Pergerakan Rentas Sempadan Malaysia-Singapura Dibenarkan 17 Ogos

Pergerakan Rentas Sempadan Malaysia-Singapura Dibenarkan 17 Ogos

PUTRAJAYA, Kebenaran pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura akan dibenarkan selewat-lewatnya 17 Ogos ini di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah kedua-dua skim berkenaan boleh menghantar permohonan kepada Jabatan Imigresen bermula 10 Ogos ini.

Katanya, selain dua skim yang dipersetujui itu, terdapat dua lagi skim turut dicadangkan iaitu rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan lebih kurang 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura serta pembukaan sempadan sepenuhnya.

“Untuk skim ketiga dan keempat ini, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ia berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi COVID-19 masih belum reda, dalam erti kata lain, ia memerlukan masa.

“Paling utama, kelulusan ke atas cadangan ini tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara harian terhadap pekerja yang berulang alik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, kelulusan berkenaan berkait rapat dengan tahap disiplin dan pematuhan rakyat kedua-dua negara yang melaksanakan pergerakan rentas sempadan menerusi skim RGL dan PCA.

“Sekiranya rakyat kedua-dua negara patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan sebaiknya, barulah kita akan melihat kebarangkalian untuk membenarkan perjalanan rentas sempadan di bawah kategori ketiga dan keempat,” katanya.

Menerusi pelaksanaan RGL, ia membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara.

Bagi skim PCA pula akan membenarkan penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan memasuki negara terbabit untuk bekerja.

Sementara itu, dalam kenyataan media bersama dengan rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan, berkata pelaksanaan RGL dan PCA itu bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan rasmi, perniagaan dan kerja antara Singapura dan Malaysia.

“Perincian bagi operasi RGL dan PCA termasuklah protokol kesihatan dan proses permohonan yang membabitkan pelancong untuk masuk dan keluar ke Singapura dan Malaysia. Ia akan dimuktamadkan dan diterbitkan tidak lama lagi.

“Kita bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara selanjutnya secara progresif bagi memulihkan perjalanan rentas sempadan untuk kumpulan lain yang secara tidak langsung dapat memastikan kesihatan dan keselamatan orang awam dari dua negara,” katanya.