Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perangkap Hutang

Perangkap Hutang

Oleh: Norizan Syariff

1. Semalam saya terima tawaran “pre-approved” kad kredit. Kata mereka, untuk tahun pertama 0% APR. Satu tawarkan APR 18%, satu lagi 24%, selepas habis tempoh setahun.

2. Tawaran sedemikian memang banyak di sini. Saya buang surat tu dalam tong sampah. “Ini kerja gila,” kata saya dalam hati.

3. Kad kredit ada banyak manfaat. Saya tak nafikan. Saya ada satu kad kredit. Namun kad kredit juga boleh menjadi perangkap hutang (debt trap) jika tidak diuruskan dengan baik.

4. Saya lebih suka guna kad debit. Ada duit belanja, tak ada duit tak perlu belanja. Habis cerita. Di sini kad debit boleh digunakan untuk beli barang tanpa harga minimum. Nak beli US$1 pun boleh guna kad debit.

5. Kalau nak gunakan kad kredit, pastikan bayar keseluruhan bil sebelum tamat tempoh. Sekiranya anda bayar minimum, atau beberapa kali, anda kena bayar kadar faedah yang tinggi, sehingga 18% (di Malaysia). Itu belum campur yuran lewat (late charges).

6. Orang yang bayar minimum saja, lambatlah nak keluar dari perigi hutang. Hutang pokok tak berkurangan, bunga (faedah) semakin segar!

7. Kalau anda ambil tunai dari kad kredit, anda gali kubur semakin dalam. Kadar faedah tinggi, selain ada yuran untuk pengeluaran tunai (cash withdrawal).

8. Buat permohonan kad kredit apabila anda benar-benar layak dan kedudukan kewangan berada dalam zon selesa. Maksudnya, aliran tunai peribadi anda bagus. Kad kredit bukan untuk buat hutang peribadi.

9. Kalau setakat “cukup-cukup” layak, tak payahlah. Anda akan mudah tergelincir dan berbelanja di luar kemampuan. Sekali masuk “perangkap hutang,” susah nak keluar.

10. Dalam pengurusan kewangan peribadi, ingat satu perkara. Anda mungkin layak (eligible) tetapi itu bukan bermaksud anda mampu (affordable).

Dari garis masa Tuan Norizan Syariff beliau adalah seorang penulis dan aktivis sosial yang banyak menulis di media sosial dan akhbar-akhbar tempatan.

Leave a Reply

Top