Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perang Covid 19 Masih Jauh

Perang Covid 19 Masih Jauh

PUTRAJAYA, Jumlah kes COVID-19 di Malaysia merangkumi 0.4 peratus daripada 5,559,130 kes dicatatkan di seluruh dunia, sekali gus dilihat semakin serius dan masih jauh untuk berakhir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun jumlah kes baharu di negara ini, dilihat berkurangan.

Beliau berkata, jumlah kes kembali ke angka dua digit selepas menunjukkan peningkatan disebabkan pengesanan kes positif jangkitan COVID-19 di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

“Penurunan kes COVID-19 daripada penularan tempatan ini selaras dengan unjuran sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia hasil tindakan kesihatan awam yang dilaksanakan sejak sebulan lalu, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Penurunan jumlah kes jangkitan virus ini turut dibantu pematuhan orang ramai terhadap norma baharu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk pelbagai sektor dan industri,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun terdapat penurunan kes baharu namun pihaknya tetap bimbang dengan kemungkinan berlaku peningkatan kes COVID-19, susulan pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung mengunjung, rentas negeri dan pergaulan dalam kalangan masyarakat ketika musim perayaan Aidilfitri.

“Daripada maklumat yang diperoleh didapati sebanyak 2,449,556 kenderaan diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 16 Mei lalu hingga kini.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 18,303 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan sudah diarah berpatah balik oleh PDRM. Syabas diucapkan kepada pihak PDRM atas usaha ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama melakukan segala usaha yang diperlukan dalam membendung penularan jangkitan COVID-19 di negara ini. Jika masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar kepada SOP ditetapkan, kita menjangkakan akan berlakunya peningkatan kes mendadak seterusnya boleh mengakibatkan gelombang baharu,” katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham meminta supaya masyarakat berwaspada dan tidak mengambil mudah situasi penurunan kes terbabit dan seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini bahawa peperangan menghadapi virus terbabit masih belum tamat.

Leave a Reply

Top