Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Peralihan Kuasa : Masih Terus Panas

Peralihan Kuasa : Masih Terus Panas

Oleh : Shahbudin Embun

Selagi tiada tarikh peralihan kuasa yang ditetapkan selagi itulah akan timbul pelbagai lagi tanda tanya dan teka teki bilakah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 8.

Perlu diingatkan bahawa, isu peralihan kuasa seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran Malaysia. Ini disebabkan proses pemilihan Perdana Menteri kali ini ditentukan menerusi deklarasi 7 Januari 2018 , yang merupakan suatu titik penting dalam lipatan sejarah negara. Apa yang penting isu ini telah dipersetujui dan ditetapkan dalam satu persefahaman antara semua parti yang membentuk Pakatan Harapan.

Kemudian sebagaimana biasa, terdapat pula suara-suara yang mahukan Tun M terus memerintah sehingga PRU yang ke 15. Bahkan suara dari pihak pembangkang juga mula kedengaran yang tidak mahukan Anwar menyambung pucuk kepimpinan dalam masa setahun ini.

Tidak kurang juga yang menyatakan tidak ada langsung perjanjian secara hitam putih yang menetapkan tempoh dua tahun itu. Nampaknya ada pihak yang tumpang seronok untuk melihat perjanjian ini tidak ditepati.

Kepada mereka yang melihat Anwar sebagai musuh dan menuduh beliau sebagai tidak sabar, tentunya lupa yang Anwar telah beberapa kali mengulangi sokongannya kepada kepimpinan Mahathir, dan sentiasa menekankan usaha kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk terus memberikan tumpuan kepada isu dan usaha untuk meringankan beban rakyat serta mempercepatkan reformasi pelbagai institusi di negara kita .

Anwar juga telah beberapa kali menegaskan Mahathir perlu diberikan ruang secukupnya untuk mentadbir dengan berkesan pada “waktu yang sukar dan mencabar” ini .

Itu sebabnya kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin baru-baru ini tentang isu peralihan kuasa telah menghangatkan semula isu ini. Ada yang menyatakan gesaan dari Syed Husin sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengikut semangat yang diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Namun kita tidak boleh menolak juga kemungkinan yang kenyataan Syed Husin adalah ikhlas kerana beliau semata-mahu mahu memastikan Pakatan Harapan akan terus memerintah selepas PRU 15. Apa yang dikatakan oleh Syed Husin adalah penting untuk memastikan Anwar diberikan masa yang secukupnya untuk mencorakkan masa depan Malaysia serta memastikan kestabilan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program yang telah diatur sebelum PRU 15.

Jika Anwar diberikan masa yang singkat untuk merangka strategi, maka ini diibaratkan seperti “membunuh” PH.

Walaupun begitu mudah untuk menuding jari ke atas Syed Ali kerana cuba memanaskan semula isu ini namun perlu diingatkan juga yang Syed Husin merupakan antara pemimpin yang paling awal yang sama-sama memainkan peranan penting dalam era reformasi dan tetunya beliau berasa bimbang jika agenda reformasi tidak dapat dilaksanakan. Di mata Syed Husin, hanya Anwar yang mampu melakukan semuanya ini dan meletakkan Malaysia di landasan yang tepat.

Dalam keadaan yang mana ada pihak menggunakan bangsa dan agama sebagai modal politik sempit mereka , maka Anwar dilihat sebagai pemimpin untuk menyelamatkan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Anwar diyakini mampu membendung politik ekstrem yang menjadi taktik beberapa pihak untuk mendapatkan sokongan.

Sudah beberapa kali Anwar menegaskan bahawa penyatuan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum adalah lebih penting untuk membentuk negara Malaysia yang lebih berjaya.
Bagi Syed Ali yang sudah lama berkecimpung dalam sepak terajang politik pastinya melihat Anwar merupakan calon yang paling sesuai untuk menyambung kepimpinan dari Tun Mahathir. Dari dahulu lagi , iaitu sejak zaman universiti, Anwar sudah menunjukkan ketajaman pemikiran beliau dalam beberapa isu semasa .

Anwar juga amat cerdik dalam menganalisis persekitaran dan menyesuaikan tindakan dan keputusannya dengan isu dan persekitaran semasa. Dan mungkin ini merupakan antara faktor utama mengapa Anwar masih kekal dalam medan politik sehingga sekarang.

Beliau telah berjaya mengatasi pelbagai rintangan dan semuanya ini merupakan satu latihan persediaan untuk beliau memimpin negara kita satu hari nanti. Itulah sebabnya adalah kerugian yang besar kepada negera jika Anwar tidak dapat diberikan peluang untuk memimpin negara ini. Dan inilah masa terbaik untuk menyerahkan baton kepada seorang pemimpin yang bernama Anwar Ibrahim.

Shahbudin Hj Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM)

Leave a Reply

Top