MH Online

Laman Suara Rakyat

Penyokong Tidak Dibenar Hadir Penamaan Calon

Penyokong Tidak Dibenar Hadir Penamaan Calon

KUALA LUMPUR, Penyokong parti politik bagi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon, Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, berkata aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding, seperti yang biasa dilakukan pada hari penamaan calon, juga tidak dibenarkan di mana-mana lokasi pada hari berkenaan.

Katanya, larangan itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa ketika ini.

“Selaras dengan PKP yang sedang berkuat kuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

“Bagaimanapun, penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.

“Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, tempoh penamaan calon PRK DUN Slim Sabtu ini ditetapkan selama sejam bermula jam 9 pagi, dan kertas penamaan calon boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong.

Bagi memudahkan proses penamaan calon, katanya, bakal calon diingatkan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Perak, sebelum hari penamaan calon, serta membuat pembayaran deposit lebih awal.

“SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“SPR menyeru semua calon dan parti politik sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya.