Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pensyarah Rugi Lebih RM300,000 Diperdaya Macau Scam

Pensyarah Rugi Lebih RM300,000 Diperdaya Macau Scam

KUANTAN, Seorang pensyarah wanita di Maran dekat sini membuat laporan polis mendakwa dirinya kerugian RM325,00 yang turut merangkumi pinjaman bank selepas diperdaya sindiket Macau Scam sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supritenden Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa yang berusia 41 tahun itu mendakwa dihubungi seorang lelaki pada awal Ogos tahun lalu, kononnya kakitangan Mahkamah Perlis berhubung perbicaraan kes langgar lari.

Mangsa yang menafikan terbabit dalam ‘kes’ itu kemudiannya disambung ke balai polis dan suspek kedua menakut-nakutkan mangsa bahawa dirinya berdepan hukuman gantung sampai mati kerana terbabit dalam sindiket dadah dan pengubahan wang haram menyebabkan mangsa terus panik.

“Suspek juga mendakwa sebuah kereta peronda polis dalam perjalanan untuk menangkap mangsa menyebabkan wanita itu terus merayu sebelum diarahkan bercakap pula dengan suspek ketiga kononnnya pegawai di Bukit Aman yang mengendalikan kes itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa ‘pegawai’ itu memaklumkan mereka mempunyai bukti cap jari dan rakaman kamera litar tertutup yang mengaitkan mangsa dan bagi membersihkan dirinya mangsa perlu membantu ‘siasatan’ tanpa pengetahuan individu lain.

Mangsa mendakwa diarahkan memindahkan wang simpanan berjumlah RM50,000 dan wang simpanan anaknya sebanyak RM30,000 ke akaun diberikan ‘pegawai’ itu kononnya bagi mengelakkan wang itu dirampas pihak berkuasa.

“Suspek juga mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 pada penghujung Ogos 2019 kononnya bagi risikan perjalanan wang diikuti tiga lagi pinjaman bank membabitkan jumlah antara RM30,000 hingga RM70,000 yang kemudiannya perlu dipindahkan ke akaun diberikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir menambah mangsa turut mendakwa diarahkan menjual rumah miliknya yang bernilai RM190,000 di Selangor atas alasan mengelakkan rasa curiga hartanah dibeli secara tidak sah, namun mangsa enggan menyebabkan suspek mendesak mangsa membuat pinjaman atas nilai sama.

“Suspek mendakwa jumlah itu telah ditulis dalam laporan kepada pegawai atasan dan dirinya berkemungkinan dibuang kerja jika wang itu tiada. Mangsa bagaimanapun memaklumkan bahawa namanya sudah tidak boleh membuat pinjaman kerana telah berada pada tahap maksimum yang dibenarkan,” katanya.

Setelah hampir setahun berurusan dengan suspek, mangsa akhirnya berasa curiga selepas tidak lagi menerima panggilan daripada suspek berhubung perkembangan siasatan, selain cubaan menghubungi suspek juga gagal menyebabkan dia berasa ditipu.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, kira-kira 67 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Top