Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Penjara Bukan Untuk Hukuman’

‘Penjara Bukan Untuk Hukuman’

MELAKA, Kadar pengulangan perlakuan jenayah di kalangan banduan yang telah dibebaskan di negara ini adalah yang terendah di rantau ASEAN iaitu pada 7.6 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kadar pengulangan yang rendah itu merupakan hasil pendekatan negara ini bahawa penjara bukan hanya tempat banduan menjalani hukuman, sebaliknya usaha pemulihan atau rehabilitasi turut dilaksanakan terhadap banduan dipenjarakan.

“Penjara bukan untuk hukuman, tetapi lebih kepada rehabilitasi untuk banduan. Kaedah yang dilakukan ialah dengan memasukkan elemen supaya apabila mereka (banduan) keluar dari penjara, jenayah ulangan tidak dilakukan.”

“Supaya mereka boleh dipulihkan. Apabila keluar daripada penjara mereka boleh diterima keluarga Ramai banduan (selepas keluar penjara) jadi pengusaha songket, pengusaha roti dan batik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT)/Skim Rondaan Sukarela (SRS) Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Jalil Hassan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata hanya 0.4 peratus daripada banduan yang dibebaskan secara parol mengulangi perbuatan jenayah mereka.

Beliau berkata penurunan berkenaan membuktikan keberkesanan pelaksanaan sistem parol oleh Jabatan Penjara Malaysia termasuk mengasingkan banduan terlibat jenayah berat dengan banduan yang berbaki hukuman penjara enam bulan.

“Pencapaian kita berada pada tahap 0.4 peratus dari segi jenayah ulangan apabila mereka (banduan parol) berada di luar penjara dan ini dibuktikan dalam buku ‘Blue Ocean Shift’ mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang terbaik di dunia,” katanya.

Katanya kerjasama antara masyarakat, keluarga, majikan dan pihak lain turut memainkan peranan menurunkan peratusan banduan parol mengulangi perbuatan jenayah selain keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan.

Beliau berkata selain pemulihan yang berkesan, sistem parol itu juga telah membantu dalam mengurangkan kos pengendalian penjara dan mengurangkan kesesakan di dalam penjara di negara ini.

Leave a Reply

Top