MH Online

Laman Suara Rakyat

Penipuan Jual Beli Pelitup Muka Cecah RM18 Juta

Penipuan Jual Beli Pelitup Muka Cecah RM18 Juta

KUALA LUMPUR, Jumlah kerugian akibat penipuan berhubung jual beli pelitup muka mencecah RM18 juta sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata ia termasuk jenayah penipuan e-dagang yang paling giat dan aktif sepanjang tempoh PKP.

“Memang jenayah ‘scammer’ (penipuan) ini semakin menjadi-jadi terutama pada musim PKP. Mengenai penipuan pembelian pelitup muka yang berlaku membabitkan kerugian hampir RM18 juta.

“Dalam tempoh PKP yang dikuat kuasa bermula 18 Mac lalu bahawa jenayah e-dagang atau scammer e-dagang mencatatkan kes paling tinggi sekali iaitu sejumlah 2,500 kes, sehingga 4 Ogos lalu membabitkan kerugian RM17 juta.

“Bagi pinjaman yang tidak wujud membabitkan 1,582 kes dengan nilai kerugian RM18 juta. Bagi Macau Scam sebanyak 1,001 kes dengan nilai RM50 juta, 481 kes bagi Love Scam dengan kerugian RM18 juta dan tipu SMS (mesej pesanan ringkas) 91 kes dengan RM800,000,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa PKP yang lalu.

Menjawab soalan tambahan Abdul Azeez mengenai pasukan khas bagi membanteras jenayah sindiket penipuan dalam talian itu, Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada bekerjasama dengan beberapa agensi.

Jelasnya, beberapa pasukan khas dibentuk membabitkan agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia, institusi kewangan seperti bank dan industri telekomunikasi.

Ismail juga mengakui sukar untuk membanteras sindiket penipuan dalam talian berikutan kekangan tertentu.

“Memang menjadi masalah yang dihadapi PDRM untuk menangani dan juga membanteras jenayah dalam talian. Ini kerana yang pertama membabitkan identiti pemanggil yang kita tidak dapat kenal pasti.

“Kedua, pemanggil yang menggunakan nombor telefon atau akaun telefon orang lain. Ketiga, mereka ini beroperasi di luar negara dan kita memerlukan kerjasama dengan negara-negara yang terbabit serta bekerjasama dengan Interpol,” katanya.