Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Peniaga Naik Angin, MDPP Mahu Roboh Pasar Lama

Peniaga Naik Angin, MDPP Mahu Roboh Pasar Lama

OLEH : Hidayat Fansyuri

PASIR PUTEH, Pihak berkuasa tempatan MDPP yang datang bersama jentolak untuk merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh, Kelantan terpaksa pulang hampa apabila dihalang oleh peniaga.

Peniaga naik berang dengan tindakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) itu dan tidak membenarkan perobohan dibuat selagi tiada arahan mahkamah.

Rakaman insiden itu dimuat naik dalam Facebook Pasir Puteh Today sejak pagi tadi.

Berdasarkan rakaman video yang dimuat naik, kejadian sekitar jam 9.00 pagi tadi sekali gus mencetuskan suasana kecoh di perkarangan pasar lama itu.

Seorang wakil peniaga tampil menggesa pihak PBT supaya mengemukakan sebarang notis mahkamah yang membenarkan tindakan tersebut dibuat hari ini.

Lelaki berbaju hijau dalam lingkungan usia 30-an itu turut menegaskan PTB tidak berhak melakukan sebarang tindakan selagi tiada arahan daripada mahkamah.

“Selagi tiada arahan mahkamah kami tidak akan berundur, tunjuk surat mahkamah dan saya akan balik segera.

“Jangan ingat barangan dalam pasar ini nilainya hanya RM3,” katanya dengan nada keras.

Difahamkan kekecohan mula reda kira-kira jam 11 pagi walaupun salah sebuah jentolak masih tidak beredar dari lokasi.

Keadaan dilihat terkawal dengan pengawasan beberapa anggota polis dan MDPP di lokasi kejadian dan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku.

Para peniaga enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar dengan alasan petak jualan yang kecil dan lokasi pasar baru yang tidak strategik.

Malah, Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasir Puteh Kelantan (PEMBEKAL) turut memfailkan permohonan injunksi erinford bagi menghalang notis pengosongan oleh MDPP di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, pada 1 Mac lalu dan keputusan bakal didengar pada 15 Mac nanti.

Leave a Reply

Top