“Kita terima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya berkaitan pengusiran tersebut jadi bila terima arahan, kita perlu segerakan bagi menyekat rangkaian mereka di negara ini.

“Mungkin ada masalah teknikal. Pada masa akan datang kita akan maklumkan dahulu sebelum tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah, Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM serta Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di sini hari ini.

Mohamad Fuzi memaklumkan, pengusiran tersebut dibuat setelah berbincang dan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

“Ada di antara mereka masuk ke negara ini menggunakan dokumen palsu dan pasport Syria jadi kita tidak boleh bertoleransi dengan perkara yang jelas mengancam negara. Kita tidak mahu Malaysia dijadikan lokasi selamat untuk mereka melancarkan serangan jadi tindakan drastik perlu dilakukan,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, enam warga Mesir, seorang warga Tunisia dan dua warga tempatan ditahan antara 2 hingga 9 Februari lalu dalam beberapa serbuan di Lembah Klang dan Sarawak, selepas menerima maklumat daripada agensi perisikan asing mengenai kehadiran suspek yang menjadi anggota militan, Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang beroperasi di Utara Afrika.

Semua suspek disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dan diusir ke negara asal pada 5 Mac lalu.