Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pengundi PD Mohon Perisytiharan Anwar Tidak Layak Bertanding

Pengundi PD Mohon Perisytiharan Anwar Tidak Layak Bertanding

KUALA LUMPUR, Seorang pengundi berdaftar Port Dickson mengemukakan tindakan undang-undang bagi memohon perisytiharan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Noraziah Mohd Shariff, 38, selaku pemohon memfailkan saman pemula itu pada jam 8 malam tadi melalui sistem pendaftaran e-filing.

Saman pemula itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Raja Riza & Associates, dengan menamakan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebagai responden pertama dan kedua.

Perkara itu disahkan peguam Datuk M Reza Hassan ketika dihubungi malam tadi.

Dalam saman pemula itu, Noraziah memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar oleh Lembaga Pengampunan tidak membatalkan hilang kelayakannya menjadi ahli parlimen berikutan sabitan jenayah terhadapnya.

Noraziah turut memohon perisytiharan, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara membabitkan pengampunan terhadap Anwar, adalah tidak berperlembagaan.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong itu terbatal kerana Lembaga Pengampunan yang menasihati Yang di-Pertuan Agong tidak ditubuhkan selaras Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dipohon, perisytiharan bahawa Anwar tidak berhak bertanding mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh kelayakannya tamat dan perintah lanjut serta berpatutan yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Alasan yang dikemukakan Noraziah dalam saman pemula itu ialah, Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang disabitkan kesalahan jenayah yang dikenakan hukuman penjara melebihi setahun dan denda tidak kurang daripada RM2,000, hilang kelayakan untuk bertanding.

Noraziah berkata, Anwar dibebaskan pada 16 Mei 2018 selepas menjalani hukuman penjara lima tahun berikutan sabitan jenayah kes liwat terhadapnya dan ia menjadikan beliau hilang kelayakan menjadi ahli parlimen.

Pemohon berkata, atas nasihat Lembaga Pengampunan pada tarikh sama, Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan kepada Anwar berhubung sabitan jenayah dan hukuman penjara lima tahun itu.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong hanya memberikan pengampunan kepada Anwar tetapi tidak pernah membatalkan hilang kelayakan beliau seperti diperuntukkan Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal pengampunan itu ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara ketika mesyuarat pengampunan dijalankan.

Pemohon turut memfailkan notis perakuan segera bagi membolehkan saman pemula itu didengar segera yang diikrarkan peguam Umi Farhanah Mohd Nasir.

Perakuan itu difailkan dengan alasan, perintah berhubung perisytiharan yang dipohon perlu diputuskan sebelum pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Oktober ini berikutan Anwar adalah salah seorang calon.

Selain itu, status pengampunan Anwar juga perlu diputuskan segera kerana ia berhubung kait dengan hilang kelayakan Anwar selaras Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, pengundi berdaftar Port Dickson, Rosmadi Mohd Kassim memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan peletakan jawatan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Leave a Reply

Top