Golongan belia, khususnya pengundi muda, perlu memikirkan tentang masa depan dan memilih kerajaan yang benar-benar mampu menjadikan impian serta harapan mereka menjadi suatu kenyataan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata belia mempunyai aspirasi tersendiri untuk negara ini dan oleh itu mereka janganlah sekali-kali terpengaruh oleh janji kosong bersifat emosional.

“Sebagai contoh, dulu, pada pilihan raya umum lepas, pembangkang berkata sekiranya mereka diberi kuasa, mereka akan bubarkan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

“Banyak orang terpengaruh dengan janji itu, tetapi pembangkang tidak jelaskan sebab ia akan dibubarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program bersama masyarakat Kampung Malanggang di sini pada Ahad.

Tangau, yang juga pemangku presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Anggota Parlimen Tuaran, berkata langkah membubarkan PTPTN boleh membawa mudarat kerana ia akan menghancurkan harapan rakyat untuk mendapat pendidikan tinggi.

“Dan kerajaan masih perlu menyediakan RM40-50 bilion bagi memastikan rakyat dapat belajar di universiti,” katanya.

Beliau berkata golongan muda negara ini perlu menyuarakan hasrat mereka untuk negara dan sebelum berbuat demikian, belia terlebih dahulu perlu mengenal pasti platform yang betul untuk mendapatkan maklumat tentang apa yang disediakan untuk mereka untuk masa akan datang.

“Janji mereka (pembangkang) adalah janji semata-mata. Oleh itu, golongan muda perlu melibatkan diri dengan forum atau dialog bagi memastikan janji yang dibuat itu adalah bukan janji palsu,” katanya.

Program itu adalah anjuran bersama Biro Komunikasi dan Multimedia UPKO, Biro Tatanegara (BTN) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengerusi penganjur, Felix Joseph Saang, yang juga pengerusi Biro Komunikasi dan Multimedia UPKO, berkata kira-kira 100 pelajar UMS menyertai program tersebut, yang turut diisi dengan beberapa aktiviti bersama masyarakat kampung seperti membersihkan tebing Sungai Kiulu, tapak rekreasi popular bagi aktiviti berakit meredah jeram.

“Mereka juga mendengar ceramah tentang Program Transformasi Negara (TN50) 2050 dan menyuarakan hasrat masing-masing untuk dimasukkan ke dalamnya bagi membantu usaha membina negara,” kata beliau.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *