MH Online

Laman Suara Rakyat

Pengundi Kangar Tolak Azlan Man

KANGAR, Penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di Kangar dijadikan alasan BN Perlis menolak Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata Kangar mencatatkan keputusan paling teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, apabila hanya menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong dan Kayang, selain Parlimen juga jatuh kepada pembangkang.

“Padang Besar kita menang semua kerusi (termasuk Parlimen) 6-0, di Arau kita menang empat daripada enam (termasuk Parlimen).

“Di Kangar menang dua saja dan empat kalah. Ini bermakna rakyat menolak siapa di Kangar. Itu salah satu (punca Azlan ditolak) jadi semua kena faham,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar enggan mengulas lanjut faktor lain yang menyebabkan BN Perlis menolak Azlan kerana tidak mahu kenyataannya disalah tafsir.

“Kita akan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan akan memaklumkan kepada baginda secara terperinci kenapa BN Perlis menolak Azlan sebagai Menteri Besar.

“Perkara ini tidak boleh dimaklumkan kepada pihak media buat masa ini. Biar kami memaklumkan kepada baginda bagi mengelak berlakunya salah faham,” katanya.

Pada sidang media sama, Zahidi turut menjelaskan BN Perlis hanya akan menghadap Raja Perlis untuk menjelaskan faktor menolak Azlan dan tidak akan menyerahkan 11 nama calon Menteri Besar termasuk nama beliau serta Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Sebenarnya 11 nama tu kita sudah maklumkan dulu, cuma kita bimbang melakukan kesilapan sebab bagi satu nama (Datuk Ismail Kassim) sebelum ini. Mungkin Tuanku tidak suka jadi kita hantar 11 nama,” katanya.

Ditanya sekiranya berlaku situasi Raja Perlis menolak calon lain sebagai Menteri Besar dan mahu Azlan kekal, Zahidi berkata, ia tidak akan berlaku.

“Kita terangkan kepada baginda dan harap Tuanku faham…Raja Perlis faham dengan demokrasi, Tuanku bijaksana..kita yakin tidak timbul isu berkenaan.

“Sidang media hari ini untuk memohon ampun kepada Raja Perlis dan menyatakan pendirian kami menolak Azlan sebagai Menteri Besar,” katanya.

Pada sidang media berkenaan, hanya tujuh daripada sembilan wakil rakyat BN yang hadir. Dua individu tidak hadir adalah Datuk Ismail Kassim (DUN Tambun Tulang) dan Hamizan Hassan (DUN Kayang).

Zahidi berkata, walaupun mereka tidak hadir atas sebab tidak dapat dielakkan, kedua mereka kekal menolak Azlan sebagai Menteri Besar.

Pada sidang media itu juga, Zahidi yang juga Setiausaha UMNO Perlis, mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti itu bulan ini.

Beliau berkata, keputusannya bertanding merebut jawatan didorong kejayaan cemerlang BN menerusi UMNO yang menyapu bersih enam kerusi DUN dan Parlimen di Padang Besar.

“Disebabkan rakan kita di Padang Besar menang semua kerusi, jadi kita umumkan saya akan bertanding merebut jawatan MT pada pemilihan nanti.

“Jadi, kita harap semua ahli UMNO di Malaysia dapat memberi sokongan disebabkan kita cemerlang di Padang Besar pada pilihan raya lalu,” katanya.

Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar sudah menjadi Ahli Parlimen kerusi berkenaan untuk dua penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013.