MH Online

Laman Suara Rakyat

Penghadang Lutsinar Tetapkan Penjarakan Fizikal

Penghadang Lutsinar Tetapkan Penjarakan Fizikal

KUALA LUMPUR, Dewan Rakyat memasang penghadang lutsinar di tempat Ahli Parlimen sebagai langkah menetapkan penjarakan fizikal, bermula hari ini.

Selain itu, semua Ahli Parlimen turut diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada dalam Dewan Rakyat.

Arahan itu dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, namun kelonggaran masih diberi jika Ahli Parlimen mahu bertanyakan soalan dan berucap.

“Pemakaian penutup muka diwajibkan pada setiap masa di dalam Dewan dan hanya dibuka jika Yang Berhormat hendak berucap.

“Ahli Yang Berhormat hendaklah menarik penghadang semasa duduk di dalam dewa, untuk memastikan jarak pemisah antara ahli Yang Berhormat dan tiada kontak rapat antara Yang Berhormat,” katanya pada permulaan sesi sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos lalu dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Azalina berkata, pemasangan penghadang lutsinar di semua tempat Ahli Parlimen dijangka selesai tidak lama lagi.

“Dijangkakan semua Yang Berhormat dapat duduk di blok utama Dewan Rakyat minggu hadapan selepas semua penghadang lutsinar dipasang.

“Ini diharapkan memberi keselesaan dan kemudahan seperti mana ahli Yang Berhormat nikmati sebelum ini,” katanya.