Cuaca panas terik dan kering berpanjangan sehingga ke hari ini mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat, kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Permintaan tertinggi elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan 17,788 MW pada Rabu (20 April), meningkat 37.82 peratus berbanding 1 Jan lepas (12,906 MW), kesan fenomena El-Nino.

“Keadaan panas pada siang hari yang meninggalkan kesan bahang sehingga ke awal pagi telah mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa, yang secara relatifnya menggunakan lebih banyak elektrik berbanding peralatan lain,” kata TNB dalam kenyataan di sini, pada khamis.

Secara amnya, pengguna pendingin hawa lebih cenderung menurunkan suhu pada tahap lebih rendah, meningkatkan kelajuan kipas pendingin hawa dan menggunakan pendingin hawa untuk tempoh yang lebih lama.

Menurut TNB, faktor lain termasuk penggunaan peralatan lama yang tidak diselenggara dengan baik juga boleh mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat.

“Kesemua faktor ini akan meningkatkan penggunaan elektrik secara mendadak, sekali gus memberi kesan ke atas bil elektrik pengguna,” menurut kenyataan itu.

Satu kajian kes di Selangor menunjukkan penggunaan tiga unit pendingin hawa oleh seorang pengguna meningkat daripada lima jam sehari pada Disember 2015 kepada lapan jam sehari pada bulan ini.

Penggunaan elektriknya meningkat 40 peratus daripada 428kWh kepada 598kWh. Kenaikan ini menyebabkan bilnya meningkat daripada RM125.52 kepada RM231.69,” menurut kenyataan itu.

Pengguna yang ingin mendapatkan tip-tip penjimatan tenaga boleh memuat turunnya dari www.tnb.com.my.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *