Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pengusaha Kantin MRSM Taiping Akan Didakwa

Pengusaha Kantin MRSM Taiping Akan Didakwa

IPOH, Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan terhadap pengendali kantin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berikutan kes keracunan makanan yang berulang di sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pihaknya mengkaji dengan teliti prosedur operasi standard (SOP) berhubung penyajian makanan dan pemakanan pelajar di sekolah berkenaan.

“Langkah pertama, kita akan tutup premis makanan berkenaan. Kedua, mengenal pasti punca bagi mengesan kuman yang terdapat dalam makanan terbabit dan ketiga, menyiasat pengendali makanan yang menyediakan makanan kepada pelajar bagi memastikan mereka tidak membawa kuman berkenaan.

“Dalam kes MRSM Taiping, sekiranya berlaku berulang kali, kita akan kaji semula dan tindakan tegas akan diambil,” katanya pada sidang media selepas majlis makan tengah hari bersama Pengilang Pakaian Perak dan penyerahan derma kepada Tabung Harapan Malaysia di sebuah restoran di sini, hari ini.

Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata pihaknya mungkin akan mendakwa pengusaha kantin berikutan premis berkenaan dipercayai mengupah individu tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pengusaha kantin misalnya mengupah orang yang tidak layak sebagai pengendali makanan termasuk tidak mendapatkan keperluan vaksinasi atau keperluan mendapat sijil sebagai pengendali makanan.

“Jadi, kita sedang kaji pengambilan tindakan undang-undang di mahkamah,” katanya.

Boon Chye berkata, dalam kes berkenaan, pihak sekolah dan pengusaha kantin perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan bersama supaya kejadian serupa tidak berulang.

Kejadian keracunan makanan di MRSM Taiping berlaku pada 12 Julai lalu membabitkan 40 pelajar manakala yang kedua berlaku pada 1 Ogos lalu mengakibatkan 103 daripada 593 pelajar mengalami cirit-birit dan muntah.

Leave a Reply

Top