KUALA LUMPUR, Mulai tahun depan, pengawal keselamatan bersenjata wajib menjalani latihan Pegawai Keselamatan Bertauliah (CSG) sebelum dipertimbangkan untuk memperbaharui permit membawa dan mengguna senjata api, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia adalah antara 10 inisiatif baharu dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mempersiapkan industri kawalan keselamatan negara mengharungi cabaran masa depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, arahan itu adalah berdasarkan pekeliling baharu mengenai garis panduan permohonan dan pengendalian senjata api oleh syarikat kawalan keselamatan berlesen mengikut Akta Agensi Persendirian 1971 dan Akta Senjata Api 1960 yang berkuatkuasa Ogos lalu.

“Pekeliling itu bertujuan menangani penyalahgunaan senjata api milik syarikat agensi persendirian serta kawalan keselamatan bagi tujuan yang menjurus kepada keganasan, gangsterisme atau kegiatan lain yang boleh mendatangkan ancaman serta mudarat ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Ahli Lembaga Pengarah Dan Pengurusan Syarikat Kawalan Keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Masir Kujat; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan Presiden PPKKM, Datuk Seri Mustapa Ali.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata inisiatif baharu lain yang dilaksanakan KDN adalah, melanjutkan tempoh sah laku lesen Agensi Persendirian milik syarikat kawalan keselamatan kepada dua tahun, berbanding perlu diperbaharui setiap tahun ketika ini.

Selain itu, syarikat kawalan keselamatan diwajibkan menghantar pengawal peribadi menjalani latihan khas serta ditauliah polis dan KDN bermula 1 Januari depan, selain mewartakan pakaian seragam pengawal keselamatan, aksesori dan logo PPKKM.

Inisiatif lain ialah merangka garis panduan kawalan keselamatan di institusi perbankan, membolehkan orang awam menyemak status syarikat kawalan keselamatan berlesen secara atas talian bermula 1 Oktober ini, serta menyeragamkan kontrak pembekalan perkhidmatan kawalan keselamatan bagi kementerian dan agensi kerajaan.

“Bermula Oktober ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengadakan operasi saringan air kencing ke atas pengawal keselamatan pada bila-bila masa, mencadangkan modul latihan CSG diakreditasikan serta membangunkan sistem ‘Self Auditing’ bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan mematuhi peraturan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan membawa 11 isu dibangkitkan PPKKM pada majlis itu, khususnya membabitkan tunggakan bayaran oleh kementerian dan agensi kerajaan, pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini dan keputusannya dikemukakan kepada persatuan secara bertulis.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan PPKKM supaya kontrak kawalan keselamatan sekolah di 2,000 zon diagihkan secara adil kepada 800 syarikat kawalan keselamatan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *