Seorang pengarah agensi kerajaan direman tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan dakwaan penyalahgunaan kuasa berkaitan pemberian projek agensi itu, tahun lepas.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Yusna Khadijah Md Yusop membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman pengarah berusia 54 tahun itu sehingga Rabu ini.

Lelaki yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari itu tiba di kompleks mahkamah di sini pada kira-kira 10 pagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Difahamkan antara barang yang disita setakat ini dalam siasatan kes itu ialah kenderaan jenis Toyota Alphard dan beberapa akaun dengan jumlah wang kira-kira RM786,000.

 Menurut sumber SPRM semalam, lelaki itu ditahan di sebuah hotel di Bagan Lalang, Sepang, Selangor pada kira-kira 12 tengah hari.

Turut ditahan adalah isterinya berumur 36 tahun yang juga pembantu tadbir di agensi kerajaan berkenaan.

Pengarah itu ditahan kerana dipercayai telah menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya bagi menganugerahkan projek membekalkan peralatan untuk agensinya kepada kontraktor-kontraktor berkepentingan.

Siasatan awal SPRM mendapati dia disyaki menerima sejumlah wang daripada kontraktor supaya syarikat mereka dipilih semula untuk melaksanakan projek-projek pada masa akan datang

Selain itu, SPRM menahan dua pemilik syarikat yang dipercayai telah menerima kontrak daripada pengarah tersebut, masing-masing di Alor Setar dan Shah Alam, antara 8.10 pagi dan 3.30 petang semalam.

Menurut sumber SPRM hari ini, pemilik syarikat yang ditahan di Shah Alam direman reman tujuh hari bermula semalam manakala pemilik syarikat yang ditahan di Alor Setar direman untuk tempoh sama hari ini.

Isteri pengarah itu dibebaskan setelah keterangannya direkodkan.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *