MH Online

Laman Suara Rakyat

Penganjur Perlu Hadkan Jumlah Kehadiran Media

Penganjur Perlu Hadkan Jumlah Kehadiran Media

PUTRAJAYA, Setiap penganjur bagi tujuan liputan media disaran menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khas kepada pengamal media bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjur boleh menyediakan ruang yang lebih luas dan bertanda jika melibatkan liputan yang besar.

Menurutnya, sekiranya ruang di lokasi liputan terhad dan sempit, penganjur wajar menghadkan kehadiran media.

“Mungkin media tidak tahu tempat (liputan) itu sempit atau tidak. Namun saya rasa pengamal media pun tahu tentang asas SOP seperti penjarakan sosial. Jadi kalau dah nampak kawasan itu sempit, saya percaya tak perlu masuk lagi kerana membahayakan diri.

“Walau bagaimanapun saya setuju supaya mana-mana penganjur program jika nak panggil media mereka mesti menyediakan tempat yang bertanda. Kalau didapati kawasan itu terlalu sempit mereka boleh hadkan jumlah media yang hadir,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri- Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dan berharap penganjur melaksanakan SOP khusus untuk pengamal media.

Semalam timbul isu berlaku ketidakpatuhan SOP oleh pengamal media iaitu kegagalan penjarakan sosial ketika liputan kebenaran solat Jumaat pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Ismail berkata, beliau berharap pengamal media dapat mematuhi SOP yang ditetapkan dengan menjaga penjarakan sosial.