MH Online

Laman Suara Rakyat

Pengalaman Lalu Bantu Malaysia Tangani Covid 19

Pengalaman Lalu Bantu Malaysia Tangani Covid 19

KUALA LUMPUR, Pengalaman ketika mengendalikan wabak akibat virus seperti Nipah, SARS dan MERS-CoV membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melakukan persediaan dan menggubal protokol respons bagi menangani pandemik COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ketika mendapat maklumat mengenai penularan wabak di Wuhan, China, KKM sedar virus itu akan tiba di negara ini.

“Kami mula mengaktifkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang menyelaras dan menggembleng respons kesiapsiagaan kita, sementara pengalaman lalu dalam mengurus dan menangani virus Nipah, SARS, MERS-CoV, H1N1 membantu dari segi penggubalan protokol,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sesi webinar bertajuk ‘COVID-19: What can Malaysia and Kerala, India teach the rest of the world’, anjuran Inisiatif bagi Ubat untuk Penyakit Yang Diabaikan (DNDi) dan Gabungan Penyelidikan Klinikal COVID-19, menerusi penstriman langsung melalui Facebook DNDi semalami.

Turut serta sebagai ahli panel ialah Menteri Kesihatan, Keadilan Sosial serta Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak negeri Kerala K K Shailaja yang turut dikenali sebagai ‘Shailaja Teacher’.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Malaysia juga mengguna pakai garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam memerangi wabak COVID-19.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerjasama antara kerajaan, pelbagai sektor serta masyarakat turut memainkan peranan penting dalam menurunkan jumlah kes harian COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, Shailaja mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menurunkan jumlah kes harian serta menjadi contoh kepada dunia dalam mendepani pandemik itu.

“Tindak balas Malaysia dalam mendepani COVID-19 menjadi teladan kepada dunia,” katanya.