MH Online

Laman Suara Rakyat

Penetapan Harga Petrol Mingguan Kekal

KUALA LUMPUR, Pengumuman harga petrol secara harian hanya akan dilaksanakan setelah semua pihak yang terlibat memahami tanggungjawab jawab masing-masing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, buat masa ini pengumuman harga petrol secara mingguan masih dikekalkan.

“Kita akan lakukan ini sehingga satu masa kita rasa semuanya sudah memahami tanggungjawab masing-masing sama ada syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan pengguna sendiri.

“Pengguna ini kena ada satu kumpulan yang  boleh bantu-membantu. Maknanya nanti akan ada satu aplikasi yang mereka boleh guna untuk memberi tahu rakan-rakan di mana jual minyak murah dan sebagainya. Itu semua bila sampai masanya akan kita lakukan,” katanya di majlis rumah terbuka kementeriannya, di sini, hari ini.

Penetapan harga mingguan petrol dan diesel oleh kerajaan pertama kali diperkenalkan pada 29 Mac dan pada setiap Rabu, pengumuman harga baharu minyak dibuat. Harga itu berkuat kuasa selepas tengah malam.

Mekanisme ini membolehkan pengguna menikmati harga runcit yang lebih stabil berbanding penetapan harga bulanan.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan setiap stesen petrol akan menawarkan harga yang berbeza apabila industri minyak diliberalisasikan.

“Proses liberalisasi ini akan mengambil masa lama tapi kita akan laksanakannya pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, beliau berpuas hati dengan usaha pengusaha stesen minyak yang meletakkan papan tanda harga petrol di premis mereka.

“Kita boleh lihat sekarang semakin banyak stesen minyak letak tanda harga. Saya gembira kerana mereka dengan suka rela melakukannya,” katanya.