Para pendidik dilihat perlu memainkan peranan penting untuk mendidik serta menjadi contoh kepada pelajar-pelajar sekaligus membenci gejala rasuah yang mampu menjatuhkan imej serta martabat negara.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad menggesa seluruh warga pendidik agar bersama-sama SPRM bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

“Sebagai golongan yang menjadi pemangkin kepada pemikiran rakyat, wajarlah jika seluruh warga pendidik bersama-sama SPRM menerusi Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

“Gerah merupakan revolusi sosial adalah platform terbaik kepada warga pendidik untuk mencetus gelombang dan perubahan dalam kalangan masyarakat bagi memerangi jenayah tersebut khususnya di peringkat awal usia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, SPRM telah melancarkan Gerah sebagai gelombang perubahan kepada masyarakat untuk masyarakat membenci dan memandang jijik terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Gerah adalah satu pergerakan revolusi yang mengubah ruang pemikiran,minda dan pendirian masyarakat terhadap rasuah.

Tambahnya lagi, beliau turut mewakili SPRM mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ buat warga pendidik di seluruh negara.

“Saya mewakili warga SPRM  mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di negara ini dan SPRM akan terus memperkasakan usaha pencegahan rasuah namun tanggungjawab ini tidak tergalas di bahu kami sahaja.

“Justeru warga pendidik juga perlu berganding bahu dan bekerjasama dengan kami bagi memastikan masalah golongan muda terlibat dalam aktiviti rasuah dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *