MH Online

Laman Suara Rakyat

Pendedahan Audio Subjudis Dan Menghina Mahkamah

Pendedahan Audio Subjudis Dan Menghina Mahkamah

KUALA LUMPUR, Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio yang dipercayai Datin Seri Rosmah dengan Datuk Seri Najib Razak kepada orang awam didakwa subjudis dan menghina mahkamah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berkata pihaknya kini sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjaya itu, Latheefa Koya.

“Mendedahkan rakaman dan membincangkannya dengan orang awam sekarang adalah subjudis, malah, ia tindakan menghina mahkamah.

“Adakah ini cubaan SPRM untuk mempengaruhi perbicaraan kes yang sedang berjalan?” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini.

Tambah Muhammad Shafee lagi, dalam situasi biasa sebaik saja bukti ditemui, laporan polis perlu dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan secara tertutup.

“Ia tidak akan didedahkan kepada orang awam kerana siasatan berkenaan adalah sulit.

“Malah, Latheefa turut mengatakan bahawa ini adalah rahsia rasmi yang dibincangkan oleh bekas Ketua SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad,” katanya.

Muhammad Shafee, berkata dengan mengadakan sidang media itu, pihak polis kini perlu menjalankan siasatan terhadap perkara yang sudah diketahui umum.

“Perkara itu sendiri adalah satu pelanggaran yang serius,” katanya.