Buat julung kalinya, mahasiswa bukan penutur jati bahasa Arab dari Malaysia berjaya ke peringkat akhir Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa kali ke-4, di Qatar National Convention Center, Doha, Qatar.

Pendebat berkenaan terdiri daripada Abd Rahim Elias, Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helmi, Muhammad Nazri Rostam dan Muhammad Nurfirman Mohamed yang mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada pertandingan debat itu.

Pengarah Pusat Debat dan Oratori Dunia UIAM, Dr Mazlena Mohamad Hussain, berkata empat pelajar berkenaan tidak pernah mengikuti kursus Bahasa Arab di negara Arab sebelum ini berjaya mengejutkan beberapa nama besar dalam pertandingan debat berkenaan.

Beliau berkata, antara pasukan yang berjaya ditumpaskan pasukan UIAM  pada pusingan awal adalah pasukan Universiti Kuwait, Universiti Al-Ahfad, Sudan dan Universiti Neelain, Sudan.

“Pasukan UIAM juga berjaya menewaskan pasukan Universiti Sultan Qaboos, Oman di peringkat okti-final, Universiti Khartoum, Sudan di peringkat suku akhir dan pasukan Universiti Beir Zeit, Palestin di peringkat separuh akhir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pasukan UIAM akan bertemu pasukan Universiti Qatar dalam pertandingan akhir yang akan berlangsung pada malam ini jam 11.30 malam (waktu tempatan) dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV Al-Jazeera.

Sepanjang penganjuran Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa itu, belum ada pasukan yang diwakili oleh bukan penutur asal bahasa Arab berjaya menjejakkan kaki ke peringkat akhir ketegori terbuka. Sebanyak 80 universiti seluruh dunia menyertai pertandingan itu yang diadakan selama tujuh hari bermula 6 April lalu.

Ketua hakim pertandingan berkenaan, Mohamad Salman Ali yang bertugas sebagai jurulatih debat di Qatar Debate juga berasal dari Malaysia dan adalah alumni UIAM.

Beliau juga adalah satu-satunya bukan penutur asal bahasa Arab yang pernah menjadi ketua hakim pertandingan berkenaan.

Pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula berjaya ke peringkat akhir untuk kategori Bahasa Arab sebagai bahasa kedua. Pasukan USIM diwakili oleh Anis Amirah Zakaria, Muhammad Syafiq Suhaimi, Nur Akma Mohd Dali dan Muhammad Muzakkir Ahmad Dali.

Pasukan universiti negara ini terus mengekalkan momentum sebagai jaguh debat bahasa Arab selepas berjaya menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir kategori terbuka pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah Menengah Antarabangsa pada tahun lalu.
BHOnline

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *