MH Online

Laman Suara Rakyat

Pendakwaan Punya Bukti Najib Peroleh RM42 Juta

Pendakwaan Punya Bukti Najib Peroleh RM42 Juta

KUALA LUMPUR, Pendakwaan akan membuktikan bahawa satu resolusi khas diluluskan untuk meminda bagi melantik Datuk Seri Najib Razak selaku Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd.

Peguam Negara, Tommy Thomas, dalam ucapan pembukaan, berkata selaku Penasihat Emeritus, Najib akan memberikan nasihat kepada Lembaga Pengarah berhubung perkara material mengenai kepentingan strategik negara.

Tommy berkata, Lembaga Pengarah syarikat pula akan mengambil pertimbangan dan melaksanakan sebarang nasihat Penasihat Emeritus untuk kepentingan terbaik syarikat.

Beliau berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib dengan curangnya menyebabkan beliau memperoleh secara salah RM42 juta dan menyebabkan SRC International mengalami kerugian bagi jumlah sama.

Katanya, di antara 24 dan 29 Disember 2014, sebanyak RM27 juta milik SRC International dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmPrivate tertuduh melalui akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Bagi membuktikan elemen kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, pendakwaan juga akan membuktikan bahawa dalam tempoh masa itu, sejumlah RM5 juta milik SRC International dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh melalui akaun syarikat Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

“Di antara 10 Februari dan 2 Mac 2015 pula, sejumlah RM10 juta milik SRC International dimasukkan ke dalam akaun tertuduh dan melalui dua akaun syarikat berkenaan,” katanya.