MH Online

Laman Suara Rakyat

Penanaman Padi Luar Musim Tidak Untungkan Pesawah

Penanaman Padi Luar Musim Tidak Untungkan Pesawah

KUALA LUMPUR, Kerajaan tidak mengesyorkan penanaman padi tiga musim setahun atau lima musim dua tahun, atas beberapa faktor kritikal yang mampu menjejaskan isu keselamatan makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata pendirian itu dibuat selari kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam tempoh dua tahun, iaitu antara 2015 hingga 2017.

Katanya, hasil kajian institut itu mendapati kaedah penanaman padi secara tiga musim setahun atau lima musim dua tahun tidak meningkatkan hasil pengeluaran dan menguntungkan pesawah.

“Malah, jika dibandingkan kos penanaman seperti biasa iaitu empat musim dua tahun, kos pengeluaran kita semakin meningkat.

“Kedua, serangan penyakit dan perosak ketika proses penanaman di luar musim sukar dikawal dan ia mencetuskan kesan kewangan kepada kerajaan apabila perlu memperuntukkan tambahan subsidi input serta output.

“Kementerian tidak nafikan peningkatan produktiviti daripada kadar penanaman berupaya menambah kapasiti simpanan beras negara.

“Bagaimanapun, kesan buruk akibat kekerapan penanaman perlu diambil kira bagi memastikan kemampanan dan kelangsungan produktiviti dikekalkan bagi menjamin keselamatan makanan untuk tempoh panjang,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.