Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Penamaan Calon 28 April, Pengundian 9 Mei

Penamaan Calon 28 April, Pengundian 9 Mei

PUTRAJAYA, Hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ditetapkan pada 9 Mei.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ketika mengumumkan perkara itu berkata tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula dari tarikh penamaan calon sehingga 11.59 malam 8 Mei,” katanya semasa mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU14 pada sidang akhbar khas di Putrajaya hari ini.

Pada PRU13 lepas, tempoh berkempen yang ditetapkan ialah selama 15 hari.

Menurutnya lagi, SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan 11 April.

Mohd Hashim berkata daftar pemilih suku keempat 2017 yang mempunyai 14,940,624 pemilih berdaftar akan digunakan untuk PRU14.

Daripada jumlah itu 14,636,716 adalah pemilih biasa, 300,255 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis dan 3,653 pengundi tidak hadir luar negara.

Menurut Mohd Hashim, kos pengendalian PRU14 dianggarkan berjumlah RM500 juta melibatkan 259,391 petugas pilihan raya.

Untuk tujuan pengundian keseluruhan, beliau berkata SPR menyediakan 8,989 premis bangunan yang akan digunakan sebagai pusat mengundi mengandungi 28,995 tempat/saluran mengundi.

Bagi menjalankan proses PRU14 ini, SPR telah melantik 222 orang pegawai pengurus pilihan raya.

Terdahulu, Mohd Hashim mempengerusikan mesyuarat khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRU14 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa 7 April lepas.

Sebelum dibubarkan, keanggotaan Dewan Rakyat terdiri daripada 132 wakil Barisan Nasional (BN), DAP (36), PKR (28), PAS (13), Parti Amanah Negara (Amanah) (tujuh), Parti Warisan Sabah (Warisan) (dua), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing satu kerusi serta Bebas (dua).

Jumlah kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini masih kekal seperti PRU13 lepas iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohd Hashim berkata SPR telah menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen Penggal ke-13 pada 7 April lepas, diikuti pemakluman rasmi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat serta speaker-speaker dewan undangan negeri (DUN) bagi semua negeri yang terlibat.

Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak telah dibubarkan setakat 9 April (semalam) dan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Leave a Reply

Top