Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pemuda UMNO Desak Kula Letak Jawatan

Pemuda UMNO Desak Kula Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda Umno mendesak Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia gara-gara dakwaan mengatakan kononnya orang Melayu adalah pendatang di negara ini, dan kaum India merupakan penduduk asal.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak mahu negara dihancurkan dengan ketidakstabilan dan ketidakharmonian oleh beberapa individu yang rakus berkuasa dengan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Menurutnya, hal ini adalah amat mengecewakan dan tidak bertanggungjawab daripada seorang menteri yang seharusnya peka dengan suasana dalam negara.

“Kita tidak mahu seorang pemimpin dari kerajaan mencetuskan ketegangan kaum yang menggunakan perkataan sensitif kepada masyarakat berbilang kaum di negara.

“Kita tak mahu menteri dalam konteks ini terlepas begitu sahaja dan memainkan perasaan emosi rakyat negara kita,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Kira-kira 50 ahli Pergerakan Ahli Pemuda Umno hadir bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan yang dikeluarkan Kulasegaran pada jam 12 tengah hari tadi.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, biar pun beliau (Kula Segaran) telah meminta maaf, tetapi bagi pihaknya itu tidak mencukupi.

“Dia (Kula Segaran) sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk meletak jawatan. Beliau adalah menteri, dia harus lebih bertanggungjawab tinggi dan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang difahami sebagai hasutan.

“Kita mendesak agar pihak berkuasa lakukan siasatan telus dan ambil tindakan tegas. Kita juga tidak mahu ada double standard dalam hal ini, menteri juga harus dihukum dan dia harus ambil tanggungjawab moral untuk meletak jawatan,” katanya.

Tegasnya, jika beliau enggan berbuat demikian, Perdana Menteri harus memecatnya kerana isu sedemikian boleh mencetuskan ketidakharmonian kaum.

“Kita akan menentang sesiapa sahaja yang membuat atau mencetuskan isu perkauman tanpa mengira kaum,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar harian tempatan melaporkan, Kula Segaran mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu. Dalam ucapannya di Negeri Sembilan baru-baru ini, beliau juga mendakwa, semua bukti mengenai kedatangan agama Hindu terdapat di Lembah Bujang, Kedah dan banyak kuil telah ditemui di sana.

Laporan tersebut dibuat berdasarkan rakaman video yang dimuat naik dalam YouTube baru-baru ini.

Leave a Reply

Top