Anda di sini!
Utama > Belia > Pemuda UMNO Bantah Oktoberfest

Pemuda UMNO Bantah Oktoberfest

KUALA LUMPUR, Meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, ia tidak sepatutnya dipromosikan sebagai pesta kerana bertentangan dengan norma nilai dan budaya negara ini.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata Oktoberfest juga menjurus kepada kemalangan jalan raya, pergaduhan dan kerosakan akhlak.

“Kami tidak bersetuju dan membantah festival mempromosi arak yang dibenarkan dan tidak dihalang oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana ia boleh mengundang bahaya dan kerosakan akhlak.

“Walaupun masyarakat Malaysia berbilang kaum, namun pesta ini jauh melangkaui norma dan nilai serta budaya bangsa di negara ini.

“Orang bukan Islam tidak dilarang untuk meminum minuman keras, tetapi biarlah tertutup atau di tempat yang dibenarkan tanpa mempromosikan ia sebagai pesta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata, kesan buruk itu dapat dilihat di tempat bermulanya Oktoberfest iaitu Munich, Jerman, apabila berlaku banyak kerosakan premis, pergaduhan dan perlakuan yang tidak diingini selepas pesta arak itu.

“Justeru, saya membantah pesta ini dipromosikan di negara ini. Ketika zaman kerajaan Barisan Nasional, kerajaan tidak membenarkan promosi dan pesta ini dianjurkan,” katanya.

Leave a Reply

Top