MH Online

Laman Suara Rakyat

Pemuda UMNO Akan Dekati Pengundi Muda

Pemuda UMNO Akan Dekati Pengundi Muda

KUALA LUMPUR, Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang meletakkan 40 peratus calon muda, termasuk wakil Pemuda UMNO Sabah, dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN), 26 September ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Pemuda UMNO akan berkempen mendekati pengundi muda yang berumur lingkungan 40 tahun dan ke bawah sebagai sasaran parti itu dalam PRN kelak.

“Seperti mana kita lakukan di Kimanis (PRK, Januari lalu) berasaskan di pusat-pusat daerah mengundi (PDM) dan program kita pun bersifat terfokus. Ini adalah strategi yang kita berjaya laksanakan di Kimanis dan akan guna pakai dalam konteks PRN Sabah.

“Sebenarnya banyak isu-isu tempatan yang akan diperjuangkan (PRN Sabah) dan kita serahkan kepada kepimpinan pemuda Sabah untuk menjuarai isu berkenaan dan mereka akan kita tonjolkan sebagai jurucakap dan penceramah utama.

“Di peringkat Pemuda pusat (UMNO), kita akan membantu dari segi jentera kita dibawa ke sana (Sabah) untuk menyelaraskan gerak kerja dan segala bentuk kempen yang akan diterajui Pemuda BN Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan Pemuda UMNO, di sini semalam.

UMNO mengumumkan akan bertanding 31 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk 13 kerusi baharu yang diwujudkan berikutan proses persempadanan semula.

Hari pencalonan PRN Sabah ditetapkan Sabtu ini.

Sementara itu, mengulas isu pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin, beliau berkata, pelajar berkenaan sebenarnya telah membuka mata mengenai kemudahan jaringan telekomunikasi dan akses internet yang lemah di Sabah, sekali gus telah memberi kesan terhadap pelajaranyna.

“Kita perlu lihat (isu ini) dalam perspektif lebih besar. Veveonah hanya mewakili cerminan kepada apa yang berlaku di banyak tempat seluruh Malaysia.

“Tanpa suara Veveonah, mungkin isu jurang digital tidak akan hangat dibincangkan seperti sekarang. Suara Veveonah mewakili suara pelajar luar bandar yang terperangkap dalam masalah jurang digital, suara yang mungkin pembuat dasar terlepas pandang sebelum ini,” katanya.

Justeru, katanya Pemuda UMNO mencadangkan tiga perkara untuk dipertimbangkan oleh kerajaan iaitu mengenal pasti jurang liputan, memperbaiki dan melabur dalam infrastruktur rangkaian telekomunikasi di kawasan luar bandar.

“Ini antara perkara yang menjadi keprihatinan Pemuda (UMNO) dan kita tidak mahu membincangkan polemik soal siapa yang bersalah dalam hal ini. Kita bincang bagaimana nak selesaikan isu-isu itu,” katanya.