Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pemuda Kedah Gesa Najib Berundur

Pemuda Kedah Gesa Najib Berundur

Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menggesa Datuk Seri Najib Razak, segera mengatur proses transisi kuasa demi menyelamatkan parti dengan mengosongkan jawatan Presiden UMNO.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata sudah banyak air mata pejuang parti tumpah demi mempertahankan institusi Presiden yang diumpamakan mempertahankan parti itu sendiri.

“Pemuda UMNO Kedah konsisten mempertahankan Presiden sebelum ini, namun demi kelangsungan parti pada masa hadapan kita mendesak supaya Datuk Seri Najib berjiwa besar mengosongkan jawatan beliau demi memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih muda dan berupaya.

“Sudah nyata bahawa beliau (Najib) gagal mentadbir dan mempertahankan kuasa yang sudah kita pegang selama 60 tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan penguasaan 60 tahun Barisan Nasional (BN) berkubur apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen, selain hilang penguasaan di beberapa negeri seperti Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Shaiful Hazizy berkata, Pemuda UMNO Kedah menggesa agar proses transisi kuasa dalam parti itu dilakukan dengan kadar segera kerana hakikatnya akar umbi masih setia dan menunggu arahan.

“Kita tidak sanggup lagi menanggung liabiliti peribadi ini. Parti harus bingkas bangun dan melaksanakan transformasi menyeluruh.

“Harus diingat rakyat sudah menghakimi kita, sudah tentunya kita perlu muhasabah diri dan bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan,” katanya.

Mengenai keputusan PRU-14, katanya Pemuda UMNO Kedah menerima kekalahan teruk BN, malah akur bahawa rakyat sudah membuat keputusan dan ahli serta kepimpinan parti perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Hakikatnya apabila rakyat sudah buat keputusan kita kena terima dan berharap kerajaan baharu ini dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mereka dengan lebih baik, berbanding kerajaan sebelum ini.

“Namun apa yang perlu kita lihat adalah keperluan untuk BN kembali melihat ke hadapan dan buat pembaharuan dengan lebih berkesan, pada masa sama menjadi pembangkang yang lebih hebat dan berbisa.

“Untuk itu kita memerlukan perubahan kepimpinan dan pendekatan. UMNO dan BN tidak boleh berjaya dengan menggugat dengan sekadar mempunyai kepimpinan dan cara mengurus seperti yang kita ada hari ini,” katanya.

Leave a Reply

Top