MH Online

Laman Suara Rakyat

Peminjam Yang Terkesan Perlu Dapatkan Bantuan Awal

Peminjam Yang Terkesan Perlu Dapatkan Bantuan Awal

PUTRAJAYA, Peminjam yang masih terkesan dari segi kewangan dan mungkin memerlukan kemudahan penyusunan serta penjadualan, digesa agar mendapatkan bantuan awal dan bersasar menjelang berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata langkah itu dapat dibuat dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapat khidmat nasihat.

“Sehingga 6 Julai 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM51.4 bilion. Daripada angka itu, sebanyak RM17.9 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM33.38 bilion.

“Walaupun hanya bersifat sementara, pemberian moratorium ini dilaksanakan pada masa yang tepat dan dapat membantu golongan terjejas terutama yang kehilangan sumber pendapatan.

“Ini dapat meringankan bebanan kewangan dan membantu isi rumah terjejas untuk meneruskan kehidupan tanpa perlu risau memikirkan komitmen hutang,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-12 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Tengku Zafrul berkata, tahap pelaksanaan langkah-langkah yang bersifat ‘one-off’ mencapai kadar yang tinggi sejak pelaksanaan Pakej PRIHATIN pada 27 Mac 2020 yang lalu.

Beliau berkata, bagi pemberian tunai secara ‘one-off’ seperti bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan dan lain-lain yang membabitkan pembayaran sebanyak RM14.3 bilion, tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 91 peratus.

Katanya, bagi inisiatif yang membabitkan perlaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan pula seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium, Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan lain-lain membabitkan peruntukan sebanyak RM126.4 bilion, pelaksanaan adalah pada tahap 47 peratus.

“Ini adalah kadar yang memberangsangkan memandangkan kita berada pada peringkat pertengahan pelaksanaan langkah yang terbabit.

“Perkara utama yang ingin disampaikan di sini ialah kita berada dalam landasan. Walaupun berdepan masalah dan cabaran sepanjang perjalanan, kita menunjukkan kemajuan yang baik dan bersedia melaksanakan semua langkah,” katanya.