Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Pemimpin Dunia Bertemu BIncang Isu Syria

Pemimpin Dunia Bertemu BIncang Isu Syria

Pemimpin kerajaan Turki, Russia, Perancis dan Jerman bertemu hari ini untuk cuba mencari penyelesaian politik kepada perang saudara di Syria, menyediakan akses kepada bantuan kemanusiaan dan menyelamatkan gencatan senjata di kubu terakhir dikuasai pembangkang di negara itu.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyambut kedatangan Presiden Vladimir Putin, Presiden Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel, untuk menyertai perhimpunan mengenai konflik di Syria, yang sudah meragut lebih 360,000 nyawa sejak 2011.

“Dunia memerhatikan kita hari ini. Saya harap kami bertindak dengan ikhlas dan membina persefahaman dan tidak akan gagal memenuhi jangkaan,” kata Erdogan ketika merasmikan sidang kemuncak di Istanbul.

Rundingan dibuat sehari selepas tujuh penduduk awam terbunuh dalam serangan artileri rejim Syria di Idlib, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), angka kematian tertinggi sejak gencatan senjata dicapai di situ bulan lalu.

Russia, yang menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad, dan Turki, yang menyokong pemberontak, bersetuju untuk membentuk zon penampan sekitar Idlib, tetapi keganasan meningkat secara dramatik yang membawa kepada sidang itu.

Turki dan Russia mengadakan rundingan dengan Iran mengenai konflik Syria dalam usaha yang selalu disambut dengan ragu-ragu oleh Barat, tetapi persidangan hari ini adalah yang pertama memasukkan dua pemimpin paling penting Kesatuan Eropah.

Erdogan bertemu sekejap dengan Merkel, Putin dan Macron sebelum sidang bermula, dan keempat-empat pemimpin dijangka mengeluarkan kenyataan bersama menjelang sidang akhbar berasingan. — AFP

Leave a Reply

Top