MH Online

Laman Suara Rakyat

Pemilihan PKR Tanah Merah Kecoh

Pemilihan PKR Tanah Merah Kecoh

TANAH MERAH, Suasana di sekitar Dewan Orang Ramai Kampung Bendang Nyior kecoh seketika selepas beberapa pengundi pemilihan PKR Cabang Tanah Merah, mempersoalkan keadaan dewan yang sempit dan ruang terhad menyebabkan perjalanan proses pengundian terganggu.

Namun keadaan kembali berjalan lancar selepas petugas di dewan pengundian, mula menenangkan keadaan dan meminta pengundi-pengundi mengambil tempat duduk dan bertenang.

Seorang pengundi, Zawawi Abdullah berkata, walaupun proses pengundian agak lambat ekoran keadaan dewan sempit, namun beliau telah menunaikan tanggungjawab mengundi untuk memilih pimpinan PKR Cabang Tanah Merah yang baharu.

“Mungkin pada masa akan datang dewan lebih luas dan kawasan lebih baik perlu disediakan ekoran ramai pengundi datang seawal jam 8 pagi lagi.

“Jika keadaan kecoh,maka ia akan melambatkan proses pengundian dan mengambil masa yang lama. Lagipun seorang pengundi perlu mengambil masa hampir lima minit bagi memilih calon yang mereka mahu untuk pimpinan baru nanti,”dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Zulkifli Ibrahim berkata, dia datang seawal jam 8 pagi lagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi calon pilihannya.

“Mungkin pengundi ramai keluar awal ekoran hari ini Jumaat, dan ramai yang bercuti.

“Jadi mereka ambil peluang keluar awal dan bersemangat untuk mengundi,cuma mungkin keadaan dewan sempit menyebabkan sistem pengundian terganggu, namun tindakan petugas berjaya mengawal keadaan,” katanya.