Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pemilihan Menteri Pendidikan Baharu Atas Semangat PH

Pemilihan Menteri Pendidikan Baharu Atas Semangat PH

SERI KEMBANGAN, Pemilihan Menteri Pendidikan yang baharu perlu dibuat mengikut semangat dan manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini kerajaan PH. Kalau dalam PH, ikut semangat PH, manifesto PH, itu lebih utama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Murid Cemerlang UPSR 2016-2019 Sekolah Tamil Selangor anjuran Yayasan OMS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada wajar bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti menyertai kerajaan dilantik mengisi jawatan dikosongkan Dr Maszlee Malik.

Kenyataan Anwar itu dilihat seolah-olah menolak mana-mana bekas Ahli Parlimen BN dilantik menjadi anggota Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa nama bekas Ahli Parlimen BN daripada UMNO termasuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, disebut-sebut mengisi jawatan berkenaan.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan meletak jawatan Menteri Pendidikan pada Khamis lalu.

Ditanya mengenai ura-ura nama beliau disebut bakal menggantikan Maszlee, Anwar berkata: “Saya tidak masuk dalam senarai.”

Anwar menegaskan, pemilihan pengganti Maszlee atau kekosongan jawatan menteri secara konvensyen adalah mengikut budi bicara Perdana Menteri.

Presiden PKR itu turut yakin Maszlee mempunyai masa depan dalam bidang politik walaupun meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

“Beliau masih muda dan sudah tentu ada harapan. Banyak orang berhenti (politik) tetapi patah balik. Perdana Menteri pun pernah berhenti tetapi patah balik. Saya berhenti pun patah balik,” katanya.

Leave a Reply

Top